DEBAT ANWAR – NAJIB PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Tongkat Bahaman   
Isnin, 17 Januari 2011 07:30
AddThis Social Bookmark Button

DEBAT ANWAR – NAJIB

 

Jangan ada yang kacau daun!

Debat politik secara terbuka  bukanlah sesuatu yang baru.  Dua ribu tahun yang lalu masyarakat Athens telah pun menjadikan perdebatan secara terbuka ini bagi memberi pilihan terbaik untuk rakyat mereka.  Di Amerika dan England berpuluh-puluh tahun lalu ia telah menjadi amalan menyemarakkan sistem demokrasi anutan mereka.

Dalam isu debat antara  Anwar – Najib, jika kita banci pendapat  rakyat sudah tentu majoriti akan minta agar ia diadakan.  Ini selaras dengan slogan yang sering dilaung-laungkan  kerajaan “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” Kita tidak nampak sebarang sebab untuk Najib berdolak dalih mengenai cabaran ini.   Tidak ada sebab juga mengapa Najib perlu takut untuk berdepan dengan Anwar! Hadiahkanlah sebuah kesempatan paling berharga buat rakyat, menyaksikan detik bersejarah ini. Benar-benar rakyat ingin menyaksikannya. Biarlah ia menjadi satu perkembangan baru ke arah pembangunan politik yang lebih sihat di negara ini.

Apabila Najib berdolak dalih untuk mengelak,  rakyat sudah dapat membaca bahawa Najib yang selalunya gemar berseloka,  tidak sanggup berdepan dengan Anwar. Kemunculan  KJ dan Nazri Aziz pula dilihat sebagai langkah untuk menyelamatkan air muka boss mereka sekaligus juga membodek. Dalam UMNO tidak pernah ada budaya debat. Yang ada adalah budaya angguk dan  bodek. Bila boss buat sedikit lawak, walaupun tidak lucu satu dewan ketawa berdekah-dekah.  Jika ada idea baru dari muka baru cepat-cepat dicantas. Sebarang komen dilihat sebagai kritikan.  Setiap kritikan adalah ancaman.  Dalam mesyuarat UMNO, bukan sahaja tidak ada perbahasan malah yang ada drama “cadang.. sokong.. dan cadangan ditutup” 15 minit mesyuarat selesai.

 

Pemimpin-pemimpin UMNO berfikir bahawa semakin bodoh ahli-ahli UMNO maka semakin mudah mereka dapat mengendalinya “macam kerbau…”   Sebab itu media-media arus perdana tidak bekerja membangunkan fikiran  sebaliknya memperbodohkan rakyat.   Lagi bodoh lagi bagus.  Lagi bodoh lagi senang suap.  Lagi bodoh lagi senang kelentong.

Rancangan 100 hari yang dicadangkan Anwar kali ini benar-benar suatu yang menakjubkan. Belum pernah tercetus sebelum ini yang memberi tumpuan secara objektif terhadap kepentingan rakyat.  Ia akan menjadi lebih anjal jika rakyat dapat memahaminya dengan jelas. Rancangan ini juga anjal terhadap menjana pertumbuhan ekonomi negara, pendapatan benar isirumah dan sokongan terhadap penurunan kos pihak swasta.

Rancangan ini akan menamatkan ISA.  Sebuah akta yang merembat pemimpin-pemimpin progresif negara  berwibawa sebelum ini.  Akta warisan penjajah  yang berasal dari Undang-Undang Darurat 1948 yang digunakan oleh rejim kolonial Inggeris melumpuhkan gerakan progresif di Malaya suatu ketika dulu. Selepas itu ISA menjadi alat UMNO pula bagi musuh-musuh politiknya atas alasan palsu “keselamatan negara”.  Sepatutnya pemimpin UMNO perlu melihat lebih jauh kerana sekiranya kuasa bertukar tangan dan  tumpas, sekurang-kurangnya ISA tidak akan membidas !

Rancangan pengambilan Asset Lebuh Raya oleh Khazanah dan KWSP  yang dicadangkan dalam Rancangan 100 hari itu juga suatu yang dinanti-nantikan rakyat. Ia akan mengurangkan beban kos begitu besar  yang ditanggung oleh isirumah/swasta selama ini.  Harga barang dan perkhidmatan juga akan menggelungsur turun kerana selama ini kos angkutan ini telah dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk harga di pasar yang ditentukan pengeluar.  Kos ini juga sebenarnya suatu hambatan kepada pertumbuhan KDNK kerana ia mengekang luncuran  aktiviti ekonomi.  Penurunan kos juga akan memberi Malaysia lebih daya saing secara berbanding kerana harga domestik produk yang lebih rendah di samping nilai buruh yang lebih baik.

Mengurangkan atau membebaskan kos ini dari ditanggung oleh rakyat akan menyebabkan ekonomi mampu bertumbuh lebih pantas dan rakyat akan menikmati kos sara hidup yang lebih rendah.  Secara tidak langsung pendapatan benar isirumah  bertambah baik.

Pemimpin-pemimpin UMNO dan BN tidak pernah  merasa kesengsaraan  yang dialami oleh rakyat termasuk kakitangan kerajaan bergaji tetap.  Keperitan hidup yang berpunca oleh kos sara hidup yang tinggi mengheret  mereka kepada gejala  rasuah!  Kerana tekanan hidup mereka tidak peduli halal dan haram rezeki yang mereka bawa balik untuk keluarga.

Tidak ada lagi Jabatan Kerajaan yang tidak rasuah termasuk Jabatan Agama Islam.  Tidak usah kita menuding jari kepada anggota polis yang  menahan motorsikal dan kereta di lorong-lorong  sunyi atau mengganggu pekerja-pekerja asing untuk pau gaji mereka.  Dalam UMNO, rasuah  telah jadi air minum.  UMNO hanya perangi rasuah dengan papan-papan tanda bagi mengelirukan rakyat.  Papan tanda ini sendiri satu projek rasuah yang lumaian tendernya.

Pendedahan Ketua Audit Negara  bahawa jumlah nilai rasuah atau tirisan yang berlaku dari wang perbendaharaan negara  di Malaysia adalah sebanyak RM28,000,000,000 (dua puluh lapan billion setahun) menunjukkan ia satu ancaman yang besar terhadap rakyat.  Memerangi rasuah secara habis-habisan dalam Rancangan 100 hari itu paling tidak ia dapat mengurangkan kesan tirisan ini yang bukan sahaja ditanggung oleh rakyat secara langsung malah sebenarnya telah memberi kesan berganda kepada   rakyat yang  perlu membayar  harga yang lebih tinggi bagi setiap barangan dan perkhidmatan yang mereka gunakan.   Harga yang tinggi itu termasuk kos rasuah yang terlibat dalam transaksi yang melibatkan orang yang berkuasa dengan pihak kedua yang mungkin terdiri daripada pengusaha-pengusaha swasta.

Rancangan 100 hari itu juga sebenarnya suatu yang sangat hebat,  dicetuskan oleh orang-orang yang benar-benar  pakar melihat reformasi bukan sahaja pada soal pemimpin tetapi juga pada sistem dan nilai.

Begitu juga dengan rancangan mengembalikan penghormatan rakyat terhadap guru.  Ia boleh dilihat sebagai satu langkah awal ke arah itu.  Guru adalah agen pembinaan insan paling mulia.   Jika langkah awal ini berjaya, guru-guru tidak lagi perlu menjual buku-buku kerja di sekolah atau mengajar tuisyen demi untuk mencari pendapatan tambahan keluarga.  Imej guru sebenarnya  telah hancur sejak tahun 1980an lagi,  selepas Dr. Mahathir  memperkenalkan  dasar Malaysia Incorporated.  Bila Malaysia sudah jadi sebuah syarikat korporat, semua orang  termasuk guru juga ingin hidup mewah.  Pengetua dan guru-guru mula berlegar-legar di stock market.  Jika rancangan awal ini berjaya, pengetua-pengetua sekolah juga tidak perlu ambil komisyen jualan  daripada pengedar buku di sekolah.  Suatu ketika dulu golongan pendidik begitu  dihormati dalam masyarakat.  Panggilan “cikgu” kekal  hingga  di saat dia sedang nazak.  Hari ini guru   di pandang sebelah mata… !

Najib tidak perlu   berdolak dalih.  Pelan 100 hari ini adalah suatu yang masuk akal.  Sebagai pemimpin tertinggi ia perlu berani turun gelanggang. Tidak perlu hantar KJ  atau Nazri kerana kedua-dua bocah ini sama sekali bukan lawannya. Rakyat ingin melihat Najib menikam Anwar di gelanggang jika benar rancangan Anwar ini suatu yang karut yang boleh membawa negara muflis.  Tidakkah angka hutang negara yang sudah melebihi 53 % berbanding KDNK kita itu satu indikator ke arah  negara muflis ?   Bukankah Dasar 19 Program Penjualan Bon baru juga telah meningkatkan hutang tambahan negara bernilai  RM58.1 bilion.” Juga akan membebankan rakyat ?

Rakyat sebenarnya sedang memerhati segala tindakan yang dilakukan oleh kerajaan termasuk segala operasi saman di jalan-jalan raya.  Lebuh raya telah menjadi lukah  menjana hasil dan bukan demi keselamatan rakyat.  Jika untuk keselamatan banyak lagi cara yang boleh dilakukan termasuk mengenakan sistem “demerit mata”  seperti yang dilakukan oleh banyak negara-negara di dunia.   Semakan semula  cukai pendapatan secara berulang kali terhadap isirumah dan  mengenakan cukai dan taksiran tambahan juga sebenarnya disedari terutama bagi orang-orang yang tinggal di bandar.   Pemimpin-pemimpin BN tidak tahu bagaimana peritnya rakyat bekerja untuk mencari wang.  Segala pendapatan mereka dihisap dengan begitu rakus oleh pihak kerajaan dalam bentuk cukai, lesen, saman,  bil-bil, denda dan sebagainya.

Kepada kedua-dua bocah iaitu Nazri dan KJ kami ingin berpesan supaya jauh dari gelanggang ini. Jangan kacau daun. Rakyat ingin menyaksikan pertikaman antara Anwar dan Najib. Rancangan 100 hari oleh Anwar sebenarnya membawa cahaya baru untuk rakyat Malaysia terutama rakyat yang miskin.  53 tahun merdeka dalam sebuah negara yang kaya, namun rakyatnya tetap susah dan sengsara.


Quote this article on your site

To create link towards this article on your website,
copy and paste the text below in your page.




Preview :

DEBAT ANWAR – NAJIB
Isnin, 17 Januari 2011
DEBAT ANWAR – NAJIB   Jangan ada yang kacau daun! Debat politik secara terbuka  bukanlah sesuatu yang baru.  Dua ribu tahun yang lalu masyarakat Athens telah pun menjadikan perdebatan secara terbuka ini bagi memberi pilihan terbaik untuk rakyat mereka.  Di Amerika dan England berpuluh-puluh tahun lalu ia telah menjadi amalan menyemarakkan sistem demokrasi anutan mereka. Dalam isu debat antara  Anwar – Najib, jika kita banci pendapat  rakyat sudah tentu majoriti...

Powered by QuoteThis © 2008

blog comments powered by Disqus
 

Show Other Articles Of This Author