MERDEKAKANLAH NEGARA DARI CENGKAMAN BANGSAWAN PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Tongkat Bahaman   
Rabu, 25 Januari 2012 21:39
AddThis Social Bookmark Button

 

MERDEKAKANLAH NEGARA DARI CENGKAMAN BANGSAWAN

Oleh Tongkat Bahaman

Mobilisasi pertama yang pernah dianjurkan dalam perkembangan politik Melayu telah memilih kuala Lumpur dan SITC sebagai tapak  awal untuk merubah strata sosial dan politik Melayu yang sebelumnya berpaksikan kuasa kelas bourgeoisie  - feudal.  Di sini pernah tercambah benih awal dan pernah tegak berdiri pohon patriotik-demokrasi yang bertunjang kepentingan rakyat sehinggalah akhirnya dalam lekak-lekuk  sejarah ia tercantas dan dilenyapkan bersama lembaran-lembaran sejarah yang dikoyak.

Jika Adam Adli, Safwan serta teman-temannya dari UPSI telah berjaya menjengkuh dan mencapai akar umbi masej perjuangan ini, bermakna  mereka sudah bertemu dengan lembaran yang dikoyak itu.  Di sinilah  KMM yang terajunya adalah guru, wartawan, siswazah, pelajar SITC, Kolej Pertanian serta sebuah  Sekolah Teknik Kuala Lumpur pada  ketika itu tertubuh. Sebaliknya jika mereka masih  kabur tentang fakta ini, bermakna mereka  hanyalah seperti  “berani senduk di belanga yang panas” .

Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang tertubuh pada Mei 1937, dipimpin oleh Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Mustapha Hussain,  Ahmad Boestamam, Dr. Burhanudin al-Helmi  telah memimpin gerakan sosial pertama merekruit hanya tenaga intelektual Melayu. Tiada seorang pun bangsawan-aristokrat  dipelawa menjadi anggotanya.  Inilah benih reformasi yang pernah tumbuh  demi mendukong idealism politik kelas rakyat tertindas melawan bourgeoisie-feudal ;   kelas  yang hidup mewah di bawah ketiak penjajah.

Akhbar Majlis  ketika itu telah dijadikan wadah  bagi menyuntik kesedaran kemerdekaan tulen  dan perjuangan anti-British. Selepas perang (1942-1945)  susuk-susuk ini jugalah mencetuskan PUTERA dalam satu gabungan bersama AMCJA.  Kita melihat  Hartal (1947) telah dilancarkan di seluruh negara telah menjadi tamparan paling hebat kepada Inggeris dan seluruh rakyat menyaksikan mobilisasi paling besar pernah berlaku dalam sejarah.   Peristiwa ini telah menyebabkan British mula menyusun strategi baru mendampingi bangsawan Melayu dan mengasingkan kelas ini dengan rakyat bawahan.   Tidak kurang 400,000 tentera British dari tanah-tanah jajahannya telah dibawa masuk ke Malaya dan selepas itu Darurat pun di Istiharkan pada 20 Jun 1948 lalu terjadilah penangkapan beramai-ramai peminpin-peminpin Melayu yang berhaluan kiri.  Mereka dinyahkan ke penjara, didera dan diseksa malah ramai juga dibunuh.  Golongan bangsawan seluruhnya terselamat dan hidup mewah dan diberi berbagai kemudahan termasuk dihantar belajar ke London.

Pada selekoh genting ini UMNO menyambar kemudi dan lembaran sejarah dikoyak agar kabur dan terputus supaya ia tidak dapat dikesan oleh generasi yang mendatang.   Yang terlepas dari tangkapan beramai-ramai ini telah mengambil sikap baru kerana PKMM, API, AWAS dan lain-lain telah diharamkan lalu masuk ke hutan bergerila bersama PKM – termasuk Mat Indera.

Tenaga yang pernah di cetuskan oleh KMM  sebenarnya tidak boleh dimusnahkan oleh apa jua kuasa yang bersifat nisbi.  Kini mahasiswa kembali berdiri seperti batang-batang magnet hidup menyemarakkan tenaga menghadapi situasi baru.  Batang-batang magnet hidup ini sudah pasti berupaya   bertindak balas  mencerna kesedaran baru terhadap hak dan suara mahasiswa yang telah dirampas lebih 40 tahun yang lalu.  Menjelang 24 Februari 1971 ini maka akan genaplah usia AUKU yang ke  41 tahun.   Bermakna sudah 41 satu tahun tenaga kreatif dan minda mahasiswa dirantai.  Setiap pelajar mewakili sebuah keluarga dan sebuah masyarakat tidak kira kecil atau besar.   Bila pandangan dunia kaum mahasiswa dibongsai oleh sebuah pasu yang bernama AUKU bermakna sikap keluarga dan masyarakat yang mereka dampingi  juga turut menjadi sangat pasif dan primitif.

PUTERA – AMCJA dan PAKATAN RAKYAT

Perkembangan sejarah ironinya sangat dialektis. Di atas teori ini masyarakat wujud dan terus berkembang.  Dari gerakan kiri KMM kepada PKMM-PKM dan hinggalah terbentuk PUTERA –  AMCJA.  Gerakan-gerakan ini adalah gerakan seluruh rakyat kaum tani – proletariat menentang kuasa penjajah serta kelas bourgeoisie (bangsawan) Melayu UMNO.  Kelas ini sedaya upaya berusaha untuk mempertahankan hegemoni dan  struktur kuasa lama di mana kelas bangsawan – feudal adalah kelas berkuasa.  Kononnya  hanya mereka sahaja yang tahu mengurus negara.

Pembentukan PUTERA-AMCJA adalah kemuncak perjuangan kemerdekaan berpelembagaan yang telah disanggah dengan kejam oleh British dan UMNO hingga ramai daripada para pejuangnya merengkok di penjara dan dibunuh.    Pembentukan Pakatan Rakyat   walaupun belum semasak PUTERA-AMCJA namun ia adalah  tenaga raksaksa  rakyat yang sedang mara bagi memerdekakan kita semua daripada cengkaman hegemoni  bangsawan Melayu yang sangat korup dan kotor  itu.

Walaupun  Pakatan Rakyat tidak semasak PUTERA-AMCJA namun  tenaganya kini  telah berjaya mengembalikan harapan untuk sebuah negara bangsa yang lebih patriotik dan demokratik.  Perubahan daripada sebuah politik yang penuh akta dan ugutan kepada politik harapan untuk seluruh rakyat.

DUNIA DIKUASAI PEMBERANI

Dunia ini sebenarnya hanya boleh dikuasai pemberani... ! .   Yang takut tidak kira sama ada takut apabila dicabar berdebat, atau takut untuk turun ke mahkamah apabila disapina atau takut pada bini  sama sekali tidak sewajarnya dipilih untuk memimpin.  Pemimpin yang boleh disandarkan harapan ialah pemimpin yang berani. Orang yang berani adalah susuk pemimpin yang bertanggung jawab dan begitu juga sebaliknya.

Selama dua belas tahun rakyat  telah menyaksikan bahawa ( DS ) Anwar Ibrahim adalah seorang yang benar-benar berani.  Tidak ada di dalam dunia ini seorang yang telah dihina begitu buruk tetapi  masih boleh bangun.  Penghinaan terhadap Anwar serta keluarganya oleh pemimpin UMNO yang mengaku Islam tidak pernah dilakukan oleh mana-mana regim paling zalim negara di dunia ini.  Tidak ada perbuatan yang lebih keji dari penghinaan yang dirancang oleh pemimpin UMNO terhadap  Anwar serta keluarganya sepanjang 12 tahun yang lalu. Ini hanya kerana Anwar Ibrahim  berani menyanggah dan menggugat tahta kuasa kelas bangsawan Melayu UMNO yang menjadi beban kepada rakyat.

Rakyat  juga telah menyaksikan dengan mata kepala mereka “sikap melampaui batas” pemimpin-pemimpin UMNO dengan rekayasa  mengaibkan seorang pemimpin lain yang menggugat kedudukan mereka.  Rakyat juga menyaksikan tiada ulama’-ulama’ dan Majlis Fatwa yang berani mengajak pemimpin-pemimpin UMNO untuk meneliti ratusan ayat al-Quran yang menyebut Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.  Mereka juga tidak berani dan akan terhumban bersama apabila kuasa mungkar ini terbungkas.  Mereka adalah makluk-makluk jahat yang sentiasa bersekongkol  dengan sesiapa sahaja demi sedikit upah yang mereka terima.

Jika Adam Adli adalah anak-anak kayu yang kini sedang menyangkarkan akar pada bumi dan melonjak untuk tumbuh berdiri tegak maka Anwar Ibrahim adalah sebatang tongkat yang cukup keras dan mampat untuk disandarkan harapan.  Hanya pohon-pohon yang hidup puncak digunung dan sentiasa dipulas angin menjadi keras dan tumpat.  Semakin keras angin memulas  semakin kuat akarnya mencengkam bumi  untuk ia tegak menjadi keras dan tumpat.

Dia sudah diuji. Dibalun, ditendang dan ditelanjang. Dihina dicaci dikeji, difitnah dan dipenjara. Sudah tentu aib  yang diterima  bukan kepalang  untuk mengadap anak-anak, saudara, keluarga, teman-teman dan sahabat di dalam dan di luar negara.     

Kini Anwar Ibrahim benar-benar untuk rakyat sandarkan harapan. Mengembalikan semangat juang 1937 yang mendukong kepentingan rakyat.  Solidariti rakyat  untuk  Anwar pada 901 menunjukkan bahawa rakyat benar-benar  yakin bahawa  Anwar akan berjuang membela nasib mereka.   Cengkaman regim bangsawan UMNO sejak 54 tahun lalu  yang bergelumang rasuah, menindas dan salah gunakuasa sebenarnya  tidaklah  mudah untuk dibungkaskan melainkan kita mempunyai suatu kekuatan  yang seimbang dengannya.

Anwar kini sedang memasuki tahap ketiga dalam hayat politiknya, menjadi tongkat untuk rakyat anak semua bangsa menyandarkan harapan dan menyelamatkan negara dari muflis  kerana hutang negara kini sudah mencecah RM446.7 bilion (Dec 2011) lebih kurang 54% dari KDNK Malaysia.  Hutang  yang tersangat besar ini sudah tentu mempunyai kesan komulatif  (cumulative effect)   berganda (kerana  kadar bunga)  dan akan mencecah 1 trillion pada 2019.  Malaysia akan bankrup.  Jika tidak benar unjuran ini maka Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan mengungkapkan  “ kekalahan UMNO adalah lebih baik  untuk Malaysia”. Selamatkan lah negara kita  Malaysia !.

Quote this article on your site

To create link towards this article on your website,
copy and paste the text below in your page.




Preview :

MERDEKAKANLAH NEGARA DARI CENGKAMAN BANGSAWAN
Rabu, 25 Januari 2012
  MERDEKAKANLAH NEGARA DARI CENGKAMAN BANGSAWAN Oleh Tongkat Bahaman Mobilisasi pertama yang pernah dianjurkan dalam perkembangan politik Melayu telah memilih kuala Lumpur dan SITC sebagai tapak  awal untuk merubah strata sosial dan politik Melayu yang sebelumnya berpaksikan kuasa kelas bourgeoisie  - feudal.  Di sini pernah tercambah benih awal dan pernah tegak berdiri pohon patriotik-demokrasi yang bertunjang kepentingan rakyat sehinggalah akhirnya dalam lekak-lekuk...

Powered by QuoteThis © 2008

blog comments powered by Disqus
 

Show Other Articles Of This Author