Ulama Bukanlah Penjaga PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Harun Mohd Amin UAE   
Khamis, 16 September 2010 07:00
AddThis Social Bookmark Button

Ulama Bukanlah Penjaga

Penulis tamu - Harun Mohd Amin U.A.E

Ceramah agama bukanlah budaya Islam sebenar sebaliknya hanyalah manifestasi kemelut dan konflik politik. Ia juga bukanlah wadah yang sihat untuk rakyat dan ummah mendapat ilmu sebenar. Atas nama Tuhan ia diperdagang dan dikomersialkan. Sejak Rasulullah wafat lagi yang disusuli konflik pemilihan khalifah, keretakkan pertama pun bermula. Prinsip pertama al-Quran yang diabaikan ialah “syura"  yang telah membawa satu rekahan besar antara sunnah dan syiah, ia kekal hingga hari ini. Rekahan-rekahan yang lain terhasil dari mazhab-mazhab yang muncul selepas itu. Kelemahan ini disedari oleh musuh-musuh Islam dan mula merosakkan dari dalam dan luar. Begitulah terjadi dahulu dan begitulah yang terjadi hari ini.

Islam UMNO dan Islam Pas yang mengarus perdana hari ini boleh menjadi satu contoh manifestasi mazhab politik yang menolak syura. Hal sama juga terjadi di India, Pakistan, Afghanistan, Arab dan lain-lain yang menaungkan Islam versi masing-masing mengikut dominasi kuasa. Al-Quran atau “divine scripture” atau “divine guidance” yang perlu bagi kehidupan kolektif bernegara diketepikan. Dari celah-celah konflik ini muncul ulama menangguk di air yang keruh dan bergayut mencapai buah-buah yang menjulai dihujung dahan.

Mereka telah memutlakkan hukum hinggalah Islam versi baru itu tidak lagi seindah yang telah dibawa oleh Rasulullah. Ada juga di antara mereka yang bersekongkol dengan penjajah ketika negara dijajah dulu dan turut serta mendukung sistem kapitalis. Suatu masa pernah menentang golongan yang berjuang membela rakyat miskin.

Di bawah sistem kewangan kapitalis, mereka juga menjanggutkan bank-bank dengan memperkenalkan nama-nama arab dalam urusniaga dan aqad palsu bagi kelangsungan sistem riba. Hari ini, aqad pinjaman peribadi bank telah dilakukan oleh golongan parasit ini hanya melalui telefon bagi pihak bank dengan mengenakan RM400-500 bagi satu aqad walaupun mereka tahu tidak berlaku jual beli.

Sistem kutipan zakat perniagaan pula dengan kadar 2.5% juga sudah berkurun tahun berlangsung. Ia juga hidup di bawah naungan sistem kewangan kapitalis. Tidak kira berapa besar kekayaan, zakatnya tetap sama. Jika 2.5% telah dilunaskan maka kita mendapat lesen untuk membolot kekayaan atau mengeksploitasi sumber ekonomi dan mengaut untung semahunya.

Ulama dilihat sebagai orang Tuhan atau penjaga yang mempunyai hubungan langsung dengan Tuhan. Mereka diterima sebagai pentafsir hukum walaupun tafsiran-tafsiran mereka bercanggah dengan al-Quran. Dalam ceramah mereka, terhambur fatwa-fatwa tanpa memberi ruang berhenti atau “pause” untuk pendengar berfikir sejenak terhadap biji-buah fakta yang dilontarkan.

Minda ummah dibantut dan dibongsaikan dengan hukum dan hukuman yang menakutkan. Umat Islam menjadi seperti ikan di dalam bubu atau lukah. Mereka menjadi malas membaca dan berfikir sebaliknya banyak bersembahyang sunnat dan zikir semata-mata untuk mendapat pahala dari Allah dan dengannya boleh masuk syurga. Umat Islam tidak lagi sedar bahawa budaya Islam adalah budaya menulis, membaca dan membuat penyelidikan. Memperkembangkan ilmu dan menyerlahkan ummah. Membaca yang dianjurkan oleh al-Quran boleh menyerlahkan minda dan membangkitkan jiwa berbeza dengan ceramah yang boleh hilang bersama nafas yang dihembuskan lalu terbang bersama angin.

Inilah yang berlaku, di mana wahyu Allah ditulis, di baca dan difahami. Ia tersebar tanpa batas dan tidak boleh dikawal oleh sesiapa. Bahan bertulis bersifat neuklius menyebarkan pengetahuan dan berkembang mengangkat tamadun sesuatu ummah. Justeru itulah wahyu telah ditulis dan disimpan dalam bentuk bertulis oleh Nabi Muhammad lagi malah juga oleh rasul-rasul yang sebelumnya. Sumber ilmu yang sebenar ialah dari Allah dan Dialah yang mengajar manusia…

“Yang Mengajar dengan pena Q:96: 3

“Dia mengajar manusia apa yang dia tidak tahu” Q96:5

Lebih 1200 tahun umat Islam berada dalam lukah ini yang dibina oleh kaum ulama. Mereka diasuh agar menjadi pengikut buta. Dalam majlis-majlis ceramah agama di masjid-masjid, pendengar tidak sempat berfikir dan tidak berkesempatan bertanya. Ia seperti angin yang menderu, seperti air sungai yang mengalir. Tidak membawa apa-apa perubahan pada budaya dan kelakuan umat Islam malah semakin hari semakin buruk, kadang-kadang lebih buruk dari orang-orang yang menyembah patung. Umat Islam menjadi juara dalam semua jenayah seperti rasuah dan penyakit sosial seperti dadah. Fikiran mereka gelap, kusut dan kolot sementara watak dan perangai mereka juga kadang-kadang kelihatan sangat hina walaupun mereka sembahyang dan mengikuti ceramah tak berhenti-henti. Ceramah-ceramah ini menjanjikan kantung pahala mereka sentiasa berisi. Setiap huruf al-Quran yang dinyanyikan memberi “sekian sekian” banyak pahala walaupun mereka tidak memahami apa yang dibaca. Mengikut ulama kantung yang penuh berisi inilah yang akan menyelamatkan mereka daripada api neraka.

Ulama telah menjauhkan mereka dari Islam yang disebut al-Quran sebagai “ad- Deen atau the way of life atau the social order”. Deen Islam boleh dicapai hanya daripada al-Quran dalam bentuk “fundamental principles”, “permanent values” dan “injunctions” Ulama telah menukarkan Islam Ad-Deen kepada religion yang penuh dengan pelbagai ritual. Islam yang ada hari ini bukanlah ad-Deen seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad sebaliknya ianya telah dicipta 200 tahun selepas wafatnya Rasullullah dengan mengambil hukum selain daripada Allah di samping al-Quran. Sumber-sumber hukum atau hadis yang tidak disahkan oleh Allah dan Nabi Muhammad telah muncul lebih kurang 250 tahun selepas Rasullullah wafat dan hari ini ia duduk bersama dengan al-Quran malah kadang-kadang lebih tinggi lagi.

 

Perawi Hadis

Asal

Meninggal

Jumlah koleksi

Jumlah yang diterima

Imam Muhammad Ismail Bukhari

Bokhara

260 selepas Hijrah

600,000 hadis

2,762 hadis

Imam Muslem bin Hajjaj

Neshapur

261 selepas hijrah

300,000 hadis

4348 hadis

Imam Abu Isa Muhammad Timrmazi

Tirmaz

279 selepas hijrah

300,000 hadis

3115 hadis

Imam Abu Daood

Sistan

275 selepas hijrah

500,000 hadis

4800 hadis

Abu Abdullah Ibnu Maja

Qazveen

273 selepas hijrah

400,000 hadis

4000 hadis

Imam Abdul Rahman Nisai

Khurasan

303 selepas hijrah

200,000 hadis

4321 hadis

(Perawi-perawi ini bukanlah orang-orang Arab : menyediakan sumber baru hukum Islam yang telah memesongkan Islam dari konteks ad-Deen kepada Islam sebagai religion).


Lihatlah peringatan al-Quran mengenai perkara ini;

“ Di antara manusia, ada yang membeli hadis yang menghiburkan untuk menyesatkan daripada jalan Allah tanpa pengetahuan, dan untuk mengambilnya dalam olok-olokan; mereka itu, bagi mereka, azab yang hina” Q31:6

Sejak ia berada di bawah kawalan ulama lebih 1200 tahun itu umat Islam mulai terhindar dari cahaya al-Quran. Jika ada terjemahan al-Quran yang tidak mengikut acuan ulama, mereka akan terus menggodamnya agar tidak didekati oleh masyarakat. Teori ulama’ pewaris nabi adalah saduran sistem kepaderian dalam kristian yang tidak mempunyai asas dari al-Quran. Hadis al-ulama warisatul anbiya’ adalah manifestasi konflik politik di antara yang merebut kuasa khalifah supaya mereka dapat mengembang pengaruh , mengumpulkan pengikut dan kekuatan.

Sebenarnya al-Quran adalah cukup untuk memberi panduan hidup ad-Deen kepada umat Islam dan ulama bukanlah penjaga. Tidak ada “intermediaries” atau sistem kepaderian dalam Islam dan al-Quran bukanlah hanya untuk kelas elit agama seperti yang terjadi dalam sistem paderi Kristian, Yahudi dan Hindu. Mereka mengangkat pope dan paderi atau Brahmin untuk mentafsir ajaran ini kepada mereka. Al-Quran adalah kitab Allah untuk seluruh manusia. Sesiapa yang membaca dengan hati yang tulus, mereka mempunyai hubungan secara langsung atau “direct contact” dengan Allah tidak kira ia seorang professor atau seorang tukang kasut di kaki lima. Tidak boleh diragui bahawa Allah lah yang mengajarnya.

“Yang Pemurah… Dialah yang mengajar al-Quran (Q:55:1-2) kemudian lihat juga ;

“Bacalah.. dan pemelihara kamu yang mulia, Yang mengajar dengan pena, Dia mengajar manusia apa yang dia tidak tahu” Q:96: 3-5

Konsep ibadah dalam ad-Deen merujuk kepada pengabdian atau “subservient” terhadap Allah dalam semua urusan hidup sedang konsep agama melencongkannya kepada worship atau penyembahan. Ini telah menjauhkan manusia dari prinsip ad-Deen atau the way of life atau the social order yang telah ditetapkan oleh al-Quran sebagai “divine guidance” .

Justeru jika ada orang yang mengaku bahawa tugasnya untuk mengawal akidah umat Islam seperti mufti Negeri Perak adalah sebenarnya boleh diterima hanya sebagai satu tugas politik dan bukan perintah Allah. Ayat di bawah menjelaskan prinsip ini;

“Bukti-bukti yang nyata telah datang kepada kamu daripada Pemelihara kamu. Sesiapa melihat, ia adalah untuk dirinya sendiri, dan sesiapa buta, ia adalah kepadanya sendiri; aku bukanlah penjaga kamu” Q6:104.

“Kami mengutus kamu dengan yang benar, pembawa berita gembira, dan pemberi amaran. Kamu tidak akan ditanya mengenai yang-orang Jahim” Q 2:119.

Dunia telah jauh berubah. Alam cyber kini mampu membongkarkan segala penyelewengan biarpun ia telah berlangsung lebih 1200 tahun yang lalu.

Dengan versi ulama, Islam tidak mungkin kembali membina tamadun agungnya. Budaya ceramah meracau dan menyesatkan tidak mungkin boleh mengeluarkan umat yang berada di dalam lukah agama menemui pintu keluar untuk melihat Islam yang di bawa oleh Rasullullah seperti yang terdapat di dalam al-Quran.

Perubahan psikologi manusia bergantung kepada kepercayaan dan model unggulnya. Suatu ketika bangsa arab pernah menguasai tamadun dunia kerana mereka mempunyai kepercayaan yang benar dan model unggul. Keruntuhan tamadun ini bermula tatkala berlaku perubahan kepercayaan - model unggul dan memesongkan mereka kepada sumber yang baru yang tidak disahkan oleh Allah dan Nabi Muhammad. Sejak itu Islam di bawah kawalan sistem parasitic ulama kembali terbenam dalam kegelapan dan apa yang menimpa umat Islam hari ini adalah natijah daripada penyelewengan ini. Hari ini rata-rata umat Islam yang mengikuti ceramah-ceramah tidak tahu hujung dan pangkal tentang apa itu Islam selain dari eek dan oek… Kepada sesetengah ilmuan yang sedar perkara ini, mereka menganggap “kebenaran yang sebenar perlu ditangguhkan… atau disembunyikan kerana jika ia diketahui oleh ummah maka ia akan menimbulkan kacau bilau…. Justeru itu peranan ulama haruslah kekal sebagai penjaga.


Quote this article on your site

To create link towards this article on your website,
copy and paste the text below in your page.




Preview :

Ulama Bukanlah Penjaga
Khamis, 16 September 2010
Ulama Bukanlah Penjaga Penulis tamu - Harun Mohd Amin U.A.E Ceramah agama bukanlah budaya Islam sebenar sebaliknya hanyalah manifestasi kemelut dan konflik politik. Ia juga bukanlah wadah yang sihat untuk rakyat dan ummah mendapat ilmu sebenar. Atas nama Tuhan ia diperdagang dan dikomersialkan. Sejak Rasulullah wafat lagi yang disusuli konflik pemilihan khalifah, keretakkan pertama pun bermula. Prinsip pertama al-Quran yang diabaikan ialah “syura"  yang telah membawa...

Powered by QuoteThis © 2008

blog comments powered by Disqus